Selamat menyambut hari raya Aidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat hari raya korban yang juga dipanggil Aidil Akbar bermakna hari raya besar. Sepatutnya hari raya korban lebih dirasai kemeriahan sambutannya berbanding hari raya puasa yang juga dipanggil Aidil Asghor iaitu hari raya kecil. Sesungguhnya Aidil Adha mengingatkan kita kepada Saiyidina Omar bin Al-Khattab yang memberikan ucapan beliau ; “Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Aidil Fitri. Manakala hari penurunan terakhir Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Aidil Adha ”
Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan tersendiri di mana al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah, ibadat korban dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain. Rasulullah s.a.w sendiri begitu gemar untuk berpuasa sunat pada 9 awal bulan Zulhijjah terutama pada hari Arafah. Kita juga disunatkan untuk bertakbir bermula dari waktu subuh hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah yang menunjukkan bagaimana besarnya kelebihan dan sambutan hari raya korban berbanding hari raya puasa tetapi kita di sebelah Asia Tenggara adalah sebaliknya di mana lebih meriah menyambut Aidil Fitri daripada Aidil Adha. Ketika kemeriahan menyambut Aidil Adha marilah kita sama-sama menghayati isi penting yang pernah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhamamd s.a.w dalam khutbah haji wada’ atau perpisahan antaranya [1] pengharaman riba yang menindas manusia di mana Islam sentiasa menanamkan kasih sayang dalam setiap aspek kehidupan agar tidak wujudnya sikap suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Riba telah menghancurkan ekonomi dunia dan membawa kepada penderitaan seperti keganasan terhadap peminjam sehingga ada yang dibunuh dan tidak kurang yang membunuh diri sendiri.
Takutilah amaran Allah melalui ayat 278 -279 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.