Kuala Lumpur: Kementerian
Pendidikan tangguh pembukaan sesi persekolahan 2015 seluruh negara.
Sekolah di Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Johor akan yang sepatutnya dibuka pada 4 Januari (Ahad) ditangguh ke
11 Januari (Ahad) manakala negeri lain pada 12 Januari (Isnin).
Berikut adalah kenyataan penuh
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan:
Sepertimana semua pihak sedia
maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan
khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada
tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati
sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir,
sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah
tersebut ditenggelami air akibat banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya
amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua
pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid
sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4
Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5
Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita
dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan
di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini,
tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi
negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini
juga dibuat setelah mengambilkira;
a) Sekolah-sekolah yang terlibat
sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk
dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa
dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil
masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut
pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut
untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi
memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan
sempurna.
Terima kasih.
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
-Sumber: www.hmetro.com.my/node/19831#sthash.3aUlUpXK.dpuf