word 2

Program Transformasi Sekolah (TS25) : "Ke Arah Merealisasikan Kemenjadian Murid"

word 1

Selamat Menjalani Pembelajaran Bersemuka kepada semua warga SMART

Wednesday, October 6, 2010

Permohonan Ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional Tahun 2011


Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Tingkatan 4 2011

Pelajar-pelajar tingkatan tiga yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah dipelawa untuk memohon ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional bagi sesi pengambilan tahun 2011.

Aliran

Sekolah Menengah Teknik

  • Aliran Teknikal
  • Aliran Vokasional
  • Aliran Kemahiran

Sekolah Menengah Vokasional

  • Aliran Vokasional
  • Aliran Kemahiran

Aliran Teknikal

Aliran teknikal dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR. Objektif aliran teknikal adalah untuk membantu melahirkan tenaga profesional dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan.

Aliran teknikal menyediakan 5 kursus iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan dan AgroTeknologi.

Setelah tamat pengajian di SMT, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat diploma di IPTA (universiti, politeknik, kolej komuniti), kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum, atau Tingkatan 6.

Aliran Vokasional

Aliran vokasional memberikan peluang kepada pelajar yang berpencapaian baik dan sederhana dalam akademik dan berminat kepada pembelajaran bercorak vocational (berkaitan pekerjaan). Isi kandungan aliran vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang. Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan.

Aliran vokasional menyediakan 19 kursus iaitu Automotif, Penyejukan dan Penyamanan Udara, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan, Elektrik dan Elektronik, Binaan Bangunan, Pengurusan Teknologi Pejabat, Pengurusan Perniagaan, Fesyen, Katering, Seni Kecantikan, Perkembangan dan Perkhidmatan Kanak-kanak, Bakeri, Pelancongan, Hortikultur Hiasan dan Lanskap, Teknologi Tanaman, Agroindustri Tanaman, Agroindustri Ternakan dan Pengaturcaraan Komputer

Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke IPTA, IPTS, dan institut latihan kemahiran awam dan swasta, atau terus ke alam pekerjaan.

Aliran Kemahiran

Pelajar aliran kemahiran dikhususkan kepada pelajar pencapaian rendah pada peringkat PMR dan sangat cenderung kepada pembelajaran secara hands-on (amali). Isi kandungan kursus-kursus aliran kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia. Pelajar yang tamat dengan jayanya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPK akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri. Pelajar akan dilatih menjadi tenaga kerja mahir untuk bekerja di industri atau membuka perniagaan sendiri apabila tamat pengajian. Disamping itu juga, pelajar boleh melanjutkan latihan kemahiran pada peringkat yang lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kolej komuniti, dan pelbagai institut latihan kemahiran swasta.

Aliran kemahiran menyediakan 21 kursus iaitu Pemesinan Am, Jurukimpal, Pelukis Pelan Kejuruteraan Mekanikal, Mekanik Kenderaan Motor, Mekanik Penyejukan dan Penyamanan Udara, Pembuat Perabot, Jurubina Bangunan, Jurubina Bangunan Berasaskan Kayu, Jurupaip, Pelukis Pelan Senibina, Wood Processing and Finishing Technology (Furniture), Juruteknik Elektrik, Juruteknik Elektronik Industri – Peralatan, Juruteknik Elektronik Audio Visual, Demi Chef, Pembuat dan Mereka Pakaian Wanita, Pendandan Rambut, Jurukecantikan, Juruteknik Akuakultur, Juruteknik Ladang Pertanian dan Program Industri Ekuin.

Mulai tahun 2010, BPTV memperkenalkan program traineeship kepada pelajar aliran ini jika mereka berminat dan mendapat persetujuan ibubapa. Program ini membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran di sekolah selama 3 hari, dan 2 hari di tempat kerja yang sesuai dengan kursus yang diikuti pelajar. Tempat kerja ditentukan dengan persetujuan sekolah dan ibubapa dengan kerjasama industri. Program traineeship ini memberi peluang pelajar mendapat pendedahan awal kepada alam pekerjaan semasa di bangku sekolah lagi.

Syarat Umum

  1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  2. Pemohon hendaklah:
    • Berada di Tingkatan 3 dan telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2010.
    • Dilahirkan dalam tahun 1995 atau selepasnya.
  3. Kesihatan
    • Mestilah sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal.
    • Perkara-perkara berikut perlu diambil kira: Bebas dari penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy), yang serius dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja kursus dan kerja amali.
  4. Pemohon kursus Kejuruteraan Elektrik (Aliran Teknikal), kursus Elektrik dan Elektronik (Aliran Vokasional) serta kursus Juruteknik Elektronik Industri – Peralatan (Aliran Kemahiran) mestilah tidak rabun warna.

Permohonan

  1. Permohonan ke SMT dan SMV boleh dibuat dengan dua cara:
    1. Secara online melalui laman web Kementerian Pelajaran di Sistem Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2011.
    2. Secara manual dengan datang sendiri ke SMT atau SMV yang berdekatan. Borang permohonan boleh dimuat turun di Borang Permohonan Kemasukan SMT/SMV.
  2. Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada pertengahan Januari 2011. Mereka yang tidak berjaya boleh membuat rayuan terus ke Sekolah Menengah Teknik yang berkenaan.

Maklumat

  1. Permohonan dan maklumat lanjut sila kunjungi laman web Permohonan Dalam Talian Ke Sekolah Menengah Teknik / Vokasional 2011.
  2. Sila semak Senarai Kursus SMT/SMV dan Senarai SMT/SMV.
  3. Sila rujuk juga komen-komen di Permohonan Kemasukan Ke Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional 2010 sebagai panduan.
  4. Sebarang pertanyaan dan maklumat tambahan boleh diperolehi dengan menghubungi Sekolah Menengah Teknik yang berhampiran atau Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional di talian 03-8884 5154 / 5067 / 5088 / 5084 / 5092.

Tarikh Tutup

Tarikh tutup permohonan untuk ke Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional 2011 belum dimaklumkan lagi.

Sumber: ePutra.com

*Untuk keterangan lanjut sila berjumpa kaunselor SMART, Cikgu Roshaimmi Mohammad.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...